Tiga sampel protein dibawa ke ISS
Wednesday, 14 July 2010
Utusan Malaysia - by : MOHAMAD SHOFI MAT ISA
KUALA LUMPUR 13 Julai – Tiga sampel protein yang dihasilkan seorang saintis tempatan bakal dibawa ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menerusi kapal angkasa milik Russia, ‘Soyuz’ September ini.
Pensyarah Jabatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abdul Rahman berkata, tiga hasil kajiannya itu akan diuji oleh Agensi Angkasa dan Eksplorasi Jepun (Jaxa) di ISS untuk tempoh dua hingga tiga bulan.
“Pihak Jaxa menyatakan minat untuk menghantar sampel protein ‘protease dan lipase’ yang saya hasilkan untuk diuji di stesen mereka di ISS.
“Selepas berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dua sampel telah pun dihantar ke Jepun manakala Ogos nanti saya pula akan ke sana untuk menghantar sampel yang ketiga sebelum ia dibawa ke ISS pada September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan hasil penyelidikan sains mikro graviti program Angkasawan Negara pertama kepada anggota Parlimen di Dewan Bankuet Parlimen hari ini.
Beliau merupakan salah seorang saintis yang terlibat dalam menghasilkan lima sampel yang dibawa oleh Angkasawan Negara Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS pada Oktober 2007.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili
Raja Noor Zaliha berkata, penghantaran kali ini tidak melibatkan Angkasawan Negara memandangkan sampel itu akan diisi di Jepun dan dibawa terus ke dalam kapal Soyuz.
Sementara itu, Maximus dalam ucapannya berkata, kerajaan komited dalam pengkomersialan hasil penyelidikan sains mikro graviti.
Ini kerana, katanya, ia dapat menjana pendapatan baru pada negara menerusi royalti hasil paten yang boleh digunakan dalam industri oleokimia, bioteknologi dan perubatan.
“ISS adalah satu makmal terbesar di angkasa yang dibina bagi tujuan menjalankan uji kaji sains mikro graviti. Hasil industri yang dijana oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA) di antara RM332 juta hingga RM369 juta.
“Sementara di Amerika pengkomersialan penyelidikan sains mikro graviti dalam beberapa bidang industri seperti aerogel, penghabluran protein dan tulang seramik mencecah RM100 bilion,” katanya.
< return to the What’s in the news





![]() | Today | 48 |
![]() | This week | 48 |
![]() | This month | 3476 |

Sharifah Najmi Binti Shariff Abdul Aziz
03-8885 8318
shnajmi [at] mosti.gov.my