Home Bioteknologi mampu capai 2.5 peratus KDNK tahun ini
What’s in the news
Bioteknologi mampu capai 2.5 peratus KDNK tahun ini
Friday, 23 July 2010
Berita Harian
- by : Shahrizan Salian
INDUSTRI bioteknologi berada pada landasan kukuh untuk menyumbang 2.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebelum akhir tahun ini, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah fasa pertama Dasar Bioteknologi Negara.
Ketua Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata pendapatan yang dijana daripada syarikat berstatus BioNexus kini sudah menyumbang 2.2 peratus kepada KDNK negara.
Beliau berkata, daripada 169 syarikat berstatus BioNexus yang sudah dimajukan membabitkan pelaburan berjumlah RM1.77 bilion, 60 peratus sudah mula menjana pendapatan dengan 56 peratus adalah daripada eksport.
“Tahun ini, industri bioteknologi tempatan berada pada landasan kukuh untuk mengatasi nilai pendapatan dijana syarikat BioNexus tahun lalu RM562 juta,” katanya selepas melancarkan program televisyen BioUsahawan musim kedua dengan kerjasama stesen TV3 di Sri Pentas, Petaling Jaya, semalam.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Seri Farid Ridzuan.
Malaysia akan memasuki fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara tahun depan yang akan menumpukan kepada pengkomersialan produk industri bioteknologi tempatan.
Fasa pertama bermula pada 2005 dan berakhir tahun ini pula menumpukan kepada proses pembinaan kapasiti, termasuk langkah mewujudkan syarikat bioteknologi baru dan membentuk ekosistem terhadap industri berkenaan.
Iskandar Mizal berkata, jumlah pendapatan yang dijana syarikat BioNexus daripada eksport tahun lalu adalah RM290 juta, manakala jualan domestik sebanyak RM272 juta.
“Dengan pertambahan syarikat BioNexus tahun ini, disokong penekanan terhadap mutu syarikat terbabit, jumlah pendapatan dijana mereka mampu menyumbang 2.5 peratus kepada ekonomi Malaysia sebelum akhir tahun ini,” katanya sambil menambah BiotechCorp menjangka memberikan status BioNexus kepada 20 lagi syarikat sebelum akhir tahun ini.
Iskandar Mizal berkata, kerajaan menyasarkan industri bioteknologi akan menyumbang empat peratus kepada nilai KDNK negara apabila berakhirnya fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara serta lima peratus menjelang 2020.
“Berdasarkan aliran semasa, angka itu mampu dicapai memandangkan industri bioteknologi global sendiri secara konsisten mencatatkan pertumbuhan 15 hingga 17 peratus setahun dengan potensi pasaran yang masih luas untuk diteroka,” katanya.
Mengenai musim kedua program BioUsahawan yang akan ditayangkan menerusi slot berita perdana Buletin Utama TV3, Iskandar Mizal berkata ia adalah susulan kejayaan musim pertama program itu tahun lalu yang bermatlamat mewujudkan kesedaran rakyat mengenai potensi industri bioteknologi.
Katanya, tahun ini segmen itu akan menampilkan penyelesaian daripada industri bioteknologi untuk menangani isu kritikal kehidupan seharian termasuk kesihatan, makanan dan alam sekitar.
“Kami gembira kerana program BioUsahawan tahun lalu mencapai matlamat mendekatkan industri ini dengan rakyat yang mana maklum balas diterima adalah begitu menggalakkan,” katanya.
Program BioUsahawan 2010 akan mula bersiaran setiap Ahad dan Selasa bermula 25 Julai ini untuk 60 siri dengan tempoh tayangan selama dua minit 30 saat setiap segmen.