Home Sektor bioteknologi perlu 20,000 pekerja mahir
What’s in the news
Sektor bioteknologi perlu 20,000 pekerja mahir
Tuesday, 25 May 2010
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Sektor bioteknologi negara memerlukan lebih 20,000 pekerja mahir berkelayakan tinggi termasuk ahli sains menjelang 2014 dan ini selaras usaha kerajaan menjana pendapatan negara sebanyak RM45 bilion sumbangan sektor berkenaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata kerajaan menetapkan 2011 bagi fasa kedua pelaksanaan dasar bioteknologi dengan sasaran sebagai fasa ‘memasarkan sains’.
“Kementerian akan menilai kembali pelaksanaan fasa pertama dan mendapatkan maklum balas sebelum bergerak merencanakan strategi dan pelan pelaksanaan untuk fasa kedua.
“Kita kini dalam rangka meletakkan Malaysia di peta dunia dalam bidang bioteknologi dan sasaran utama adalah menetapkan 2.5 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan disumbangkan oleh industri bioteknologi,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Bioteknologi Kebangsaan ke-15, di sini semalam.
Teks ucapannya dibacakan Ketua Pegawai Eksekutif Sirim Berhad, Ir Yahaya Ahmad.
Seminar ini diadakan sebagai pemangkin dalam memenuhi hasrat negara menjadikan bioteknologi sebagai pemacu ekonomi dengan mengadakan forum dan ruang pameran.
Yahaya berkata, seminar kali ini turut mempamerkan 249 projek atau 50 peratus daripada projek bioteknologi dibiayai menerusi program e-sains.
“Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak RM300 juta diperuntukkan termasuk RM100 juta untuk program e-sains dan hari ini kita melihat hasil sebanyak 50 peratus projek daripada dana berkenaan.
“Kementerian berbangga dengan pencapaian ini dan merasakan kita di landasan betul dalam usaha menjayakan bioteknologi,” katanya.
Beliau berkata, cende-kiawan dalam bidang bioteknologi diseru meningkatkan produktiviti dan transformasi ekonomi negara dengan memperbanyakkan sumbangan idea dan mengubah minda sesuai aliran perkembangan global.