Johor gerbang bioteknologi
Wednesday, 05 May 2010
Utusan Malaysia
CHICAGO 4 Mei - Sebahagian kawasan pembangunan baru Iskandar Malaysia, Nusajaya di Johor kini giat dibangunkan untuk menjadi pusat penyelidikan dan perindustrian bioteknologi utama negara dalam tempoh empat tahun lagi.
Pembangunan itu membabitkan kira-kira 29 hektar daripada 44 hektar keseluruhan kawasan itu, sekali gus bakal menjadi gerbang utama bioteknologi Malaysia di peringkat domestik dan juga luar negara.
Menurut Pegawai Eksekutif BiotechCorp., Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Iskandar Malaysia akan dibangunkan sebagai sebuah kawasan ekosistem bioteknologi dikenali sebagai Bio-XCell.
Bio-XCell merupakan kerjasama antara Bio-Xcell Sdn. Bhd. dengan UEM Land Holdings Bhd. yang membangunkan Iskandar Malaysia.
Iskandar berkata, setakat ini sebanyak 10 syarikat multinasional antarabangsa dalam bidang bioteknologi telah pun menyatakan hasrat untuk terlibat membangunkan gerbang tersebut.
"Tiga daripadanya yang merupakan syarikat dari Eropah dan India dalam peringkat akhir dijangka memuktamadkan usaha dan pelaburan menjelang akhir tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
BiotechCorp. mewakili Malaysia pada Konvensyen Bioteknologi Antarabangsa di sini.
Perincian mengenai pembangunan dan pelaburan terkini Bio-Xcell dijangka diumumkan sempena pelancaran pavilion bioteknologi Malaysia pada konvensyen di sini.
Pavilion Malaysia juga akan membuka peluang perbincangan pembangunan bioteknologi negara yang kini memasuki fasa kedua perkembangannya.
Menurut Iskandar, pembangunan Bio-Xcell dijangka membabitkan tiga fasa dengan pelaburan kemudahan dan prasarana sehingga RM1 bilion dengan tumpuan kepada penyelidikan dan penghasilan dalam bidang penjagaan kesihatan.
"Kerja-kerja penyediaan kemudahan kini giat dijalankan bagi mewujudkan persekitaran ekosistem berteknologi hijau.
"Ia dijangka menyaingi kawasan yang sama seperti yang terdapat di India dan beberapa negara di Eropah," katanya.
Tambahnya, satu lagi fakta penting Iskandar Malaysia sebagai gerbang bioteknologi negara adalah kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura yang merupakan pusat penting penyelidikan bioteknologi di rantau ini.
"Ia akan membuka ruang pelaburan dan lebih luas antara kedua-dua buah negara dalam bidang tersebut," katanya.
Ini merupakan penyertaan kali keenam Malaysia. Konvensyen kali ini disertai lebih 20,000 peserta dari 70 negara. - Utusan
< return to the What’s in the news





![]() | Today | 35 |
![]() | This week | 35 |
![]() | This month | 3463 |

Sharifah Najmi Binti Shariff Abdul Aziz
03-8885 8318
shnajmi [at] mosti.gov.my