Guna EM rawat air tercemar
Friday, 19 February 2010
Utusan Malaysia - by : NORZAINURA ABDUL MAJID
BATU PAHAT 18 Feb. – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah menggunakan kaedah bioteknologi Efektif Organisma (EM) bagi memulihkan air sungai serta parit di negeri ini yang tercemar terutamanya semasa musim panas sekarang.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sungai-sungai terutamanya di daerah ini teruk tercemar disebabkan penggunaan baja kimia ke atas tanaman kelapa sawit sehingga menyebabkan air di dalam tanah berasid.
“Ia mengandungi bahan ammonia dan penggunaan EM boleh merawatnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah di tapak cadangan pembinaan Sekolah Agama Sri Gading, dekat sini hari ini.
Menurutnya, keadaan tanah gambut yang luas di daerah ini dan ditanam dengan kelapa sawit juga menjadikan air hujan yang mengalir melalui ladang sawit ini tercemar kerana penggunaan baja kimia.
Beliau berkata, penggunaan EM penting terutamanya semasa Johor menghadapi krisis air sekarang apabila air di sungai tidak dapat dialirkan ke empangan akibat tercemar.
Justeru, apabila air sungai dirawat dengan EM ia boleh dibekalkan ke empangan dan seterusnya menampung bekalan air untuk penduduk.
Abdul Ghani berkata, paras air di Empangan Sembrong Timur kian susut dan antara langkah segera yang diambil ialah memasang paip untuk menyalurkan air dari Empangan Sembrong Barat ke empangan berkenaan untuk diproses.
Menurutnya, langkah seterusnya adalah dengan meninggikan paras tebing di semua empangan sedia ada seperti di Sembrong dan Bekok supaya paras air dapat ditingkatkan lagi pada masa akan datang.
Menteri Besar dalam rangka lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja dan Parit Ya‘ani yang terletak di kawasan Parlimen Sri Gading untuk meninjau segala permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
Turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Abdul Aziz Kaprawi serta pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.
< return to the What’s in the news





![]() | Today | 421 |
![]() | This week | 2363 |
![]() | This month | 5791 |