Mesin PCR ciptaan USM
Friday, 12 February 2010
Utusan Malaysia - by : LAUPA JUNUS
KETIKA ini, bidang bioteknologi berkembang sangat pesat . Aktiviti penyelidikan pula dijalankan di makmal-makmal canggih oleh institusi penyelidikan swasta dan dan kerajaan terutama institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Makmal-makmal canggih ini memerlukan peralatan yang terkini, tetapi kosnya sudah tentu tinggi terutama untuk mendapatkan keputusan yang pantas.
Salah satu peralatan yang kerap digunakan oleh saintis atau penyelidik di makmal-makmal bioteknologi ialah ialah tindak balas berangkai polimerase (PCR).
Alat ini biasanya digunakan untuk menggandakan atau meningkatkan bilangan sel yang dikaji iaitu sel-sel hidup. Salah satu penyelidikan menggunakan PCR ialah diagnostik molekul yang biasanya digunakan dalam penjagaan kesihatan.
Molekul diagnostik penting kerana ia mampu mengesan penyakit menentukan rawatan yang sesuai untuk pesakit bagi menjamin kejayaan rawatan berkenaan.
Bagaimanapun, dengan kos yang tinggi, kegunaan PCR sangat terhad di negara-negara membangun sedangkan ia sangat penting untuk kajian bioteknologi sel.
Menyedari keperluan itu, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Institut Penyelidikan Perubatan Molekular (INFORMM) menjalankan satu penyelidikan menghasilkan kaedah mengurangkan kos teknologi berakaitan PCR.
Hasil tercipya PCR yang menggunakan bahan asas atau material yang murah.
Teknik pembuatannya juga murah kerana menggunakan sampel asas daripada mesin PCR konvensional.
Menurut Timbalan Naib Canselor USM yang juga ketua kumpulan penyelidik tersebut, Prof Dr. Asma Ismail, bilangan kit diagnostik di negara ini yang banyak mendorong kumpulannya terdiri daripada Dr. D. Sugumar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Prof. Madya Dr. Lingxue Kong dari Deakin University Australia menghasilkan satu mesin PCR yang lebih cepat dan pantas.
"Ujian untuk menghasilkan kit diagnostik yang mahal menggunakan teknologiPCR sedia ada sedangkan mesin yang kami hasilkan murah,'' katanya.
Mesin yang dinamakan Multiplex cakera PCR itu hanya memerlukan kos antara RM44 dan RM55 untuk satu ujian dalam masa 30 minit.
Sedangkan teknologi sedia ada katanya, memerlukan kos untuk PCR sahaja antara RM28,000 hingga RM50,000 untuk tiga jam.
Kata Asma, mereka berusaha untuk menurunkan kos diagnostik itu seminimum mungkin kalau boleh sekitar RM5 untuk setiap ujian.
PCR ciptaan USM itu mengandungi 16 sampel (chamber).
Suhu setiap platform tersebut dikawal bagi membolehkan tiga sampel berbeza pada suhu berbeza boleh digunakan untuk sekali ujian atau eksperimen.
Kitaran suhu PCR pada mesin itu dihasilkan dengan menggerak katrij dalam sistem pusingan dan kedudukan lurus. Jumlah kitaran dapat ditentukan dengan mengira kitaran cakera.
Lebih istimewa cakera mesin dapat diganti kerana ia jenis pakai buang.
Penyelidikan tersebut mula dijalankan pada 2007 dan siap pada tahun lepas dan menggunakan sampel yang tidak memerlukan pendingin.
Ia telah di failkan untuk paten di 11 buah negara pada penghujung 2008.
"Malah kita akan meneruskan kajian bagi menggunakan bahan terbuang terutama pada cakera mesin tersebut," kata beliau.
Dengan adanya mesin tersebut, banyak kit diagnostik dapat dihasilkan bagi ujian penyakit yang biasa ditemui di negara tropika seperti denggi dan kolera.
Lebih menarik menurut Asma, mesin tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.
Bagi mengkomersialkan mesin tersebut, sebuah syarikat kerjasama diwujudkan antara pihak USM dan Australia yang mempunyai makmal CGMP untuk menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.
< return to the What’s in the news





![]() | Today | 414 |
![]() | This week | 2356 |
![]() | This month | 5784 |