• Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home Aspirasi: Bioteknologi sumber kekayaan baru

Content on this page requires a newer version of Adobe Flash Player.

Get Adobe Flash player

What’s in the news

Aspirasi: Bioteknologi sumber kekayaan baru

Tuesday, 12 December 2006

Berita Harian - by : Radzi Latif

PADA 6 Disember lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Persidangan dan Pameran Bio Malaysia 2006 yang melambangkan iltizam berterusan Perdana Menteri mengangkat industri bioteknologi negara ke persada antarabangsa.

Dari segi geografinya, Malaysia bertuah kerana ia dianugerahi Tuhan kekayaan alam semula jadi dengan iklim dan hutan tropika yang kaya sumber alam. Sumber alam ini menyimpan seribu satu rahsia untuk dirungkai oleh pemain utama industri bioteknologi.

Malangnya, minda rakyat Malaysia tertutup untuk sekian lama dan gagal melihat potensi dan rahsia alam semula jadi akibat disogok pemikiran dan sikap penjajah British yang hanya tertumpu untuk mencari kekayaan hasil bumi menerusi perlombongan bijih timah dan pembukaan ladang getah yang begitu luas menjadikan negara ini antara pengeluar getah utama dunia.

Selepas merdeka, rakyat terus bergantung kepada sumber alam untuk pembangunan ekonomi. Kekayaan alam tropika secara mudah dimanfaatkan dengan mengambil sumber kayu kayan sedia ada. Penebangan hutan juga dilakukan bagi membuka kawasan baru untuk penempatan penduduk dan pembukaan tanah rancangan seperti Felda dan Felcra.

Kini, negara menghadapi masalah kekurangan kawasan hutan, kesan pembangunan. Di kawasan strategik, hutan terpaksa menghadapi tuntutan pembangunan sehingga kawasan yang dulunya diwartakan sebagai hutan simpan, sudah diubah statusnya demi pembangunan.

Dengan kesedaran baru terhadap bioteknologi sebagai satu bidang baru yang berpotensi untuk memanfaatkan sumber alam yang terhad, Malaysia berada pada waktu tepat untuk memanfaatkan kekayaan sebenar sumber alam negara ini.

Sains dan teknologi dibantu dengan kemajuan semasa teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mendekatkan kita kepada hakikat bahawa negara ini masih kaya dengan sumber alam dalam bentuk kepelbagaian biologi (biodiversity).

Khazanah hutan kini tidak lagi dilihat sebagai sumber balak, tetapi rakyat mula menghargai kekayaan biodiversiti yang menjadi sumber kekayaan baru untuk memacu kemajuan bidang pertanian, perindustrian dan kesihatan.

Perdana Menteri melancarkan Dasar Bioteknologi Kebangsaan (DBK) pada April tahun lalu. Langkah kerajaan menggubal dasar ini membayangkan kesedaran tinggi pemerintah untuk menyertai perlumbaan masyarakat antarabangsa memajukan bidang bioteknologi demi kemajuan negara.

Kerajaan menggariskan usaha pembangunan bioteknologi secara berperingkat sehingga 2020 dalam tiga bidang fokus utama iaitu pertanian, penjagaan kesihatan dan industri. Sasaran negara ialah mewujudkan 100 buah syarikat bioteknologi bertaraf global menjelang 2020.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menyediakan peruntukan RM2 bilion untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang bioteknologi dan sains hayat. Selain itu, satu bentuk insentif berupa penganugerahan status BioNexus diberi kepada syarikat yang layak menerima insentif cukai khas dan pelbagai bentuk sokongan lain.

Dasar itu menyediakan satu wadah untuk industri, pihak swasta, jentera kerajaan dan individu menerokai bidang baru yang penuh potensi ini. Konvensyen dan Pameran Bio Malaysia 2006 baru-baru ini menzahirkan kesungguhan pihak berkenaan untuk menyahut seruan DBK.

Satu pencapaian yang dibanggakan apabila lima buah syarikat bioteknologi berjaya memperoleh status BioNexus. Skim galakan ini dijangka mendorong lebih banyak syarikat bioteknologi muncul dan berkembang secara sihat. Matlamat melahirkan 100 syarikat bioteknologi bertaraf global menjelang 2020 adalah realistik sekiranya semua pihak serius bersama membangunkan bidang bioteknologi ini.

Malaysia sedang bersaing dengan China, India, Taiwan, Jepun dan Singapura yang turut serius membangunkan bidang bioteknologi. Secara sihat, persaingan ini tidak akan menghalang negara menerokai pelbagai bidang bioteknologi yang memihak kepada kita. Malaysia mempunyai sumber alam yang tidak dimiliki oleh sebahagian negara berkenaan.

Seperti memajukan pertanian dan industri asas tani, bidang bioteknologi juga perlu membabitkan lebih ramai orang. Mulai sekarang, rakyat Malaysia bukan sekadar perlu membiasakan diri mendengar istilah bioteknologi, tetapi perlu mendekatinya dengan kesungguhan. Kita perlu mendapatkan maklumat mengenai bioteknologi kerana prospek ini boleh dikembangkan pada skala kecil, perusahaan kecil sederhana dan juga industri desa.

Institusi penyelidikan kerajaan perlu mendekati orang ramai untuk berkongsi maklumat mengenai bioteknologi agar hasil penyelidikan yang memerlukan biaya tinggi dapat dimanfaatkan oleh mereka. Perbelanjaan besar untuk kegiatan R&D tidak harus disia-siakan dengan meninggalkan hasil penyelidikan berhabuk di atas rak fail.

Penyelidik khususnya dalam institusi penyelidikan kerajaan dan universiti awam haruslah berfikir bagaimana hasil penyelidikan mereka boleh dimanfaatkan oleh rakyat atau industri yang boleh mendatangkan keuntungan ekonomi.

Untuk itu, kerajaan perlu memikirkan satu cara untuk memberi ganjaran kepada saintis dan penyelidik. Seandainya hasil kajian mereka dikomersialkan dan berjaya menghasilkan produk bernilai berjuta atau berbilion ringgit, apakah saintis dan penyelidik berkenaan tidak sewajarnya diberi ganjaran dalam bentuk berkongsi keuntungan atau royalti hasil daripada teknologi ciptaannya?

Impian Perdana Menteri ke arah memajukan industri bioteknologi tidak akan menjadi kenyataan sekiranya saintis dan pereka cipta universiti hanya berbangga dengan pengumuman demi pengumuman bahawa mereka menang pingat emas dalam pameran teknologi di serata dunia.

Apa yang ingin kita dengar adalah kejayaan mengkomersialkan ciptaan teknologi itu. Mungkinkah akan ada paten dari universiti di negara ini kelak yang boleh menandingi kejayaan Stanford University yang meraih royalti RM1.429 bilion hasil ciptaan penyelidik mereka dari 1975 ke 2002.

Bilakah penyelidik kita dalam bidang bioteknologi mampu menghasilkan ciptaan yang bakal meraih royalti yang amat tinggi seperti produk emtricitabine bernilai RM1.9 bilion, produk Humira RM2.6 bilion, dan produk Neupogen dan Neulasta bernilai RM1.5 bilion.

Masyarakat di luar terutama ahli perniagaan perlulah bersikap proaktif menyambut apa jua prospek perniagaan bidang bioteknologi ini. Mereka perlu lihat apa yang tersirat dalam minda Perdana Menteri apabila beliau memberi penekanan kepada sektor bioteknologi. Tokoh korporat Melayu wajar mengubah paradigma niaga supaya boleh merebut potensi dan peluang yang ada dalam sektor bioteknologi.

Lihat sajalah syarikat Royal Pharma yang kini memiliki RM7.6 bilion nilai pasaran royalti daripada paten produk yang mereka miliki. Begitulah besarnya potensi bidang bioteknologi kepada syarikat korporat.

Cabaran yang perlu disahut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis adalah untuk memastikan supaya sasaran 100 syarikat BioNexus bertaraf global bukan saja dapat dicapai, tetapi semua syarikat itu perlu berusaha menyaingi rekod syarikat antarabangsa seperti Royal Pharma.

Kalau kejayaan serupa dapat dicapai ia bermakna kita akan berjaya menyuntik kekayaan baru kepada negara bernilai RM760 bilion menjelang 2020 bersamaan nilai pasaran RM54 bilion setiap tahun.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

< return to the What’s in the news

MCY 2014

Event Calendar

Biotek's Events Calendar

Links

Majlis Bioetika Negara KRSTE.my Atomic Energy Licensing Board Inno Exchange
MyIdeas
infosti beyond
innospace grassroot jejak nodc
nitc bio mygov isaaa

Research Fundings

Biotek Newsletter